Bismillahirrahmanirrahim--
Pokok betik saya di belakang rumah |
Pokok betik atau Papaya, adalah salah satu pokok yang senang tumbuh. Jika kita campakkan biji di atas tanah yang sesuai, ia pasti tumbuh. Setakat ini, saya sudah beberapa kali tanam pokok betik sejak saya pindah ke rumah taman ini. Namun begitu, saya terpaksa menebang pokok itu setiap kali ia membesar lebih pada had.
Pernah satu kejadian, apabila pokok betik itu terlalu lama, akar pokok betik tersebut menyelinap di bawah longkang, menyebabkan longkang pecah. Oleh itu saya terpaksa menebang pokok tersebut. Di antara kejadian yang lain, ia tumbuh terlalu tinggi melepasi atap rumah dua tingkap. Sudahlah susah untuk mengait buahnya, apabila hujan lebat beserta angin kencang, pokok itu patah dan menghempap bumbung rumah jiran. Saya terpaksa menanggung kos membaik pulih atap atau adec rumah jiran saya.
Kejadian yang ketiga, pokok betik yang saya tanam, bercabang dan berbuah lebat sehingga akar tidak mampu menanggung berat sehingga pokok itu tumbang - walaupon saya sudah menongkat dahan dengan kayu besar.
Agak lama juga, saya tidak mempunyai pokok betik di rumah.
Kali ini, saya mencampakkan lagi biji betik di belakang rumah. Saya tidak ingat bila saya campakkan biji-biji tersebut, cuma kini terdapat tiga anak pokok tumbuh. Salah satunya sudah agak besar - manakala satu lagi masih kecil, baru tumbuh dan satu lagi tercabut semasa saya merumput. Anak yang masih kecil saya pindahkan ke halaman rumah manakala yang sudah besar saya biarkan di belakang.
Tips yang ingin saya kongsikan kali ini berkaitan penanaman betik adalah BAGAIMANA HENDAK MENJADIKAN POKOK BETIK ITU BERCABANG DAN MEMPUNYAI BANYAK BUAH.
Seperti yang saya sudah nyatakan di atas, salah satu pokok betik saya mempunyai sehingga empat cabang atau dahan. (Biasanya kita jarang melihat pokok betik bercabang-cabang). Dan setiap cabang menghasilkan buah yang lebat dan sentiasa berbuah.
Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja, iaitu, saya telah terpatahkan batang pokok betik itu ketika saya membetulkan batang pokok betik yang menyenget/ condong dan hampir tumbang. Saya hanya membiarkan pokok itu kerana untuk mencabut pokok betik yang sudah patah itu mengambil masa.
Namun begitu, setelah beberapa lama, saya dapati terdapat tunas baru di batang pokok betik yang patah tersebut. Saya hanya membiarkan sahaja pokok itu sehingga tunas itu membesar menjadi dahan-dahan pokok betik yang baru dan berbuah.
Daripada kejadian itu, saya membuat kesimpulan bahawa, batang pokok betik sekiranya dikerat, tunas-tunas baru akan tumbuh dan menyebabkan pokok betik itu bercabang.
Oleh yang demikian, saya telah membiarkan anak pokok betik saya di belakang rumah sehingga agak besar dan kuat serta segar, dan beberapa hari lepas saya telah memangkas batang betik tersebut.
Berikut adalah gambar anak pokok betik itu yang sudah mengeluar tunas-tunas baru.
Saya akan membuang tunas-tunas sehingga tinggal 4 tunas untuk menjadi cabang baru. Kita akan lihat beberapa bulan lagi perkembangan tumbesaran pokok betik ini.
Selain dari itu, saya juga akan melakukan sesuatu supaya pokok betik ini tidak naik tinggi. Tunggu post saya seterusnya apabila masa yang sesuai tiba. Mungkin dalam sebulan lagi iaitu selepas daripada menyambut Hari Raya.
Stay tune...
Allahualam bissawab.
Comments
Post a Comment