Mudah Tanam Kangkung Dari Benih

Bismillahirrahmanirrahim--
mudah tanam kangkung dari benih
Rupa-rupanya memang mudah untuk tanam kangkung dari benih! Tiga hari lepas saya cuba-cuba semai benih kangkung yang diberi oleh mak mertua saya, dan hari ni benih-benih tu dah mula bertunas - keluar akar. Sebelum ni, saya pernah dengar ramai orang kata tanam kangkung dari benih ni lagi mudah daripada tanam dari keratan berakar yang kita beli dari pasar. Lebih-lebih lagi kalau guna kaedah hidroponik. Jom, saya tunjuk macamana saya buat.

Semai Benih Kangkung Guna Botol Minuman - Kaedah Hidroponik

Ya, saya cuma guna botol air mineral terbuang, sebab saya dah kehabisan pasu (belum order lagi pasu kat Lazada). Saya juga guna polisterin atau styrofoam pelapik TV yang orang buang dekat tong sampah kitar semula, haha... Untuk medium tanaman, saya guna kertas surat khabar. Sepatutnya saya guna tisu, tapi rupa-rupanya dah lama kami kehabisan tisu kat rumah ni.

Jadi tiga bahan utama yang saya guna :

  1. botol minuman
  2. polisterin / styrofoam
  3. kertas surat khabar (sebaik-baiknya tisu)
Yang saya kata tanam ikut kaedah hidroponik tu, sebab saya tak guna medium tanah. Saya cuma campak dalam tangki air yang saya tak guna, bawah pokok pelam tepi rumah saya.

tanam kangkung kaedah hidroponik

Air dalam tangki air tu sebanarnya, saya sengaja tadah air hujan, untuk buat siram pokok-pokok kat laman herba mini saya.

___________________________________________________________

___________________________________________________________


Selepas Tiga Hari Semai, Benih Kangkung Bertunas


Oleh kerana niat tanam kangkung ni pada asalnya hanya untuk cuba-cuba dulu, jadi saya tak lah pula ambil gambar. Saya pon dah lupa pasal semaian tu, hingga tadi nak ambil buah pelam (mangga) untuk buat jeruk, ternampak semaian benih kangkung saya tu dah bertunas. Terus ambil gambar. Dalam hati, sangat ceria - "Mudah je lah tanam kangkung ni kalau begitu..."

semai benih kangkung dalam botol terbuang


Cara Sediakan Tempat Tanam Kangkung Dari Benih

Berikut cara saya sediakan tempat tanam kangkung cara hidroponik:
Pertama : 

Potong polisterin mengikut berapa botol yang hendak diletakkan. Saya guna empat botol saja, jadi panjang dia dalam lebih kurang dua kaki saja. Saya ambil bahagian yang lebar polisterin tu dalam dua inci supaya senang nak buat lubang tempat letak botol.

Lepas tu, ukur bulatan bahagian bawah botol - potong bulatan tu. Pastikan lubang tu ngam-ngam dengan botol supaya tak longgar. Biar ketat sikit sebab nanti bila kangkung tu dah tinggi, tak lah botol tu terbalik.

benih kangkung bercambah lepas 3 hari


Ini polisterin pelapik TV yang saya gunakan...

polisterin pelapik TV



Kedua :

Potong botol untuk ambil bahagian bawah botol. Anggaran tinggi botol tu biarlah lebih dalam 4 inci, bahagian atas permukaan polisterin.

kaedah tanam kangkung hidroponik

Bahagian tapak botol tu, saya tebuk lubang. Kaedah saya - saya panaskan dawai besi (sidai kain) atas dapur gas, dan cucuk-cucuk kat bawah botol. Kalau tak ada dawai, boleh guna paku - panaskan paku dan cucuk. Plastik mudah berlubang bila kena besi panas. Cuma, bila guna paku, sila berhati-hati - nanti melecur pulak jari.

Lubang-lubang tu gunanya untuk tempat akar kangkung keluar dari botol dan terendam di dalam air.

p/s : Maaf, tak ada gambar.


Ketiga :

Carik-carikkan sedikit kertas surat khabar, rendam dalam air (supaya soaking wet) dan letakkan di dasar dalam botol tadi - menutupi lubang-lubang pada dasar botol. Jangan lapik banyak sangat - sekadar untuk tutup lubang sahaja.

Kalau guna tisu, tak payah carik-carikkan. Hanya perlu hampar sahaja tisu kat dalam botol tu, dan percikkan air supaya tisu tu basah.

Lepas tu, tabur benih kangkung di atas carikan surat khabar basah tadi atau atas helaian tisu basah tu.

Berapa banyak benih kangkung yang sesuai di campakkan? Untuk botol saiz kecil (Botol air mineral kecil bersaiz botol Coca-Cola RM1) seperti saya, sesuai letak dalam 10 biji. Kalau botol yang besar sdikit tu, boleh letak dalam 15 biji.



Keempat :

Sumbat botol yang ada benih tadi ke dalam lubang di polisterin tu, supaya dasar botol tu ngam-ngam dengan permukaan rata bawah polisterin. Sekadar menyentuh air bila kita letakkan dalam bekas air.

Seterusnya, saya letaklah dalam tangki air. Anda boleh guna besen / basin atau kalau ada kolam ikan, letak saja dalam kolam tu.

Kalau guna besen atau baldi, letak saja kat mana-mana di luar rumah yang sesuai, atau tinggalkan saja dalam bilik air atau pantri.



Konsep Tanam Kangkung Dari Benih Cara Hidroponik

Perlu diingat bahawa, cara saya tanam kangkung ni iaitu dengan menggunakan botol terbuang, polisterin dan letakkan dalam tangki air yang saya tak guna, adalah KONSEP sahaja!

Apabila sudah faham konsep sebenar menanam kangkung dari benih cara hidroponik ini, ianya terpulanglah kepada kreativiti dan kesesuaian yang memudahkan penanaman kangkung ini tadi. Sebagai contoh, supaya nampak lebih kemas, boleh juga kita gunakan bakul berlubang kecil dibeli di kedai RM2 menggantikan botol, dan baldi atau besen, atau apa-apa bekas takungan air menggantikan tangki air seperti saya.

Apa yang penting, menanam kangkung dari biji benih ini adalah SANGAT MUDAH!... Sesiapa pon boleh menanam kangkung di rumah masing-masing sekarang.


Di mana hendak mendapatkan benih kangkung?

Kalau musim PKP ni, sudah tentu kita boleh mendapatkannya dengan pembelian online di Lazada! Kalau bukan musim PKP, benih kangkung ni boleh didapati di pasar-pasaraya atau kedai pertanian. Nak mudah, belilah di Lazada... kan?


---------------------------------------------------

Comments

  1. Replies
    1. mudah-mudahan!!! Ait tu air campuran baja AB... jangan mati sudah hahaha

      Delete
  2. dulu pernah tanam guna kaedah hidroponik tapi la ni bekas tu tersimpan kat belakang rumah jer.

    salam jengah dari www.iamfuzy.com #follower ke 2

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy pinjam kaedah je... tu pon sy yg kata kaedah hidroponik sebab x guna medium tanah... sebenarnya saya nak manfaatkan tangki air tu jer... haha

      Delete

Post a Comment